Search

Teknik Menulis Karangan

Karangan boleh dianggap sebagai diri penulisnya. Tanggapan dibuat demikian kerana unsur-unsur yang membina karangan – perkataan, frasa, klausa dan ayat, idea atau isi serta pengetahuan atau pengalaman – berpunca sepenuhnya daripada penulisnya. Sekiranya penulis tidak menguasai semua unsur tersebut, karangan berkenaan tidak akan sempurna.





1. Fahami Kehendak Soalan Sebelum Menulis Karangan

Sebelum mengarang esei , cari kata kunci dari soalan yang diminta. Daripada kata kunci tersebut, pelajar harus memikirkan isi-isi yang berkait rapat supaya tidak terpesong atau terkeluar daripada tajuk kerana isi karangan adalah bahagian yang paling penting dalam struktur karangan. Pelajar SPM boleh rujuk contoh karangan serta isi-isi pentingnya.


2. Merangka Karangan

Setiap karangan mempunyai strukturnya. Ia dimulakan dengan satu perenggan pendahuluan, beberapa perenggan untuk isi penting dan diakhiri dengan satu perenggan penutup.

I) Pendahuluan Pendahuluan bertujuan untuk memperkenalkan tajuk yang hendak dibincangkan secara umum. Perenggan ini boleh dibina dengan 3 hingga 5 ayat termasuk huraian atau ayat penyokong yang relevan dengan keadaan semasa untuk menarik pembaca ke perenggan yang seterusnya.

II) Isi Penting Jumlah perenggan isi penting bergantung kepada pelajar. Kebiasaannya sebuah karangan mempunyai 3-5 isi penting. Setiap isi penting mewakili satu perenggan yang dibina dalam 4-5 ayat huraian termasuk ayat penegasan atau rumusan. Salah satu kaedah mudah untuk merangka isi adalah menggunakan kaedah IMBaKUP :

  • I = Isi Satu ayat isi penting yang ringkas, padat dan jelas.

  • M = Mengapa Ayat penerangan mengapa dikatakan sebegitu dalam ayat isi.

  • Ba = Bagaimana Beri satu contoh bagaimana perkara yang ditulis dalam ayat isi boleh dijayakan atau dilakukan. Pastikan contoh yang diberi relevan dengan isi dan bertepatan dengan kehendak soalan.

  • K = Kesan Kesan daripada contoh tadi yang menyokong isi.

  • U = Ungkapan Tulis satu peribahasa atau ungkapan yang selari dengan perbincangan isi penting. Penggunaan peribahasa dalam karangan akan memberi impresi yang baik kepada pemeriksan kertas bahawa pelajar mempunyai pengetahuan bahasa yang luas.

  • P = Penegasan Nyatakan satu kesimpulan ringkas tentang idea yang dikemukakan dalam isi yang dihuraikan.

Untuk menunjukkan kesinambungan antara perenggan isi, pelajar digalak untuk menggunakan penanda wacana yang sesuai dalam menulis karangan.

III) Penutup Perenggan penutup berfungsi untuk membuat kesimpulan secara keseluruhan. Penutup karangan yang mantap akan melengkapkan sebuah karangan yang bermakna. Pelajar boleh membina perenggan ini dengan 3-5 ayat dan tidak seharusnya mengulang kembali isi yang telah ditulis. Antara cara menulis penutup yang mudah adalah seperti membuat ramalan, memberi cadangan dan menyatakan harapan tentang isu yang dibincangkan.

26 views
Copy of (88cm x 77cm) SSBK_StairsLower.p